Thursday, July 30, 2009

mahasiswa


Di dalam al-Qur’an persoalan mahasiswa adalah persoalan penting. Ini kerana mahasiswa di dalam al-Qur’an digolongkan sebagai golongan yang menuntut ilmu. Lantaran itu, di dalam membincangkan persoalan jihad dan perjuangan Islam, al-Qur’an turut menekankan peranan dan tanggungjawab mahasiswa. Firman Allah

Yang bermaksud :

“ Dan tidaklah ( betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah) ”.

Surah at-Taubah: ayat 122

Imam al-Qurtubi di dalam kitab tafsirnya kitab mahasin at-Ta’wil, jilid 8 menyatakan bahawa ayat ini menegaskan tentang kewajiban menuntut ilmu di samping menunjukkan ketinggian martabat golongan yang menuntut ilmu.Selain itu, ayat ini juga sebenarnya telah meletakkan dengan jelas bentuk menuntut ilmu yang disarankan oleh Islam dengan kalimah ‘tafaqquh’. Imam Jamaluddin al-Qasimi di dalam kitab tafsirnya menjelaskan makna tafaqquh sebagai :

“ Ilmu yang berbekas di hati, bersebati pada jiwanya dan tertera kesannya pada tingkah laku, sehingga tidak mungkin bagi yang memilikinya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ilmu tersebut. Jika tidak, maka sudah tentu dia tidak dianggap berilmu”.

Ayat ini juga sebenarnya menggariskan tanggungjawab yang tergalas di bahu penuntut ilmu atau mahasiswa. Mahasiswa perlu menjalankan 4 tanggungjawab berikut :-

1.Menyediakan diri untuk menuntut ilmu dengan sebaik-baik persiapan

2.Menuntut ilmu dengan mendalam dan beramal dengannya ( tafaqquh )

3.Memberi peringatan ( al-Inzar ) kepada masyarakat

4.Optimis dan berkeyakinan dengan usaha yang dilakukan tersebut.

Justeru, kita dapati Islam meletakkan definisi yang lebih luas bagi golongan mahasiswa dan peranannya. Mahasiswa mengikut definisi Islam tidak bermakna sekiranya mereka tidak beramal. Apabila mahasiswa beramal dengan ilmunya, maka semua aspek yang berlegar di sekelilingnya akan dilihat menurut neraca ilmu. Sebeginilah sepatutnya mahasiswa mendepani sesuatu isu.

No comments:

Post a Comment